Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir
yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata
yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin
kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.
Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia
tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas
dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan
segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan
penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal
sifat-sifatNya yang Unggul.
Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh
tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya
Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat
pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang
sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.
Al-Quran menjelaskan juga persoalan
tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh
manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari
qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.
Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak
kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi
dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang
diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada
nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s
tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama
dan termulia di sisi Allah S.W.T.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi:
Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu
mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi
kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.
Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak
berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak
usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi
kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap
kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha
golongan-golongan kuffar.
Al-Quran adalah satu perlembagaan yang
lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh
manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci.
Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan
sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh
Allah S.W.T.
Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman:
Sesungguhnya telah datang kepada kau
cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab
(Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan
jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut
keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur)
kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya
juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus.
(Surah Al-Maidah: 14 &15)
Firman Allah S.W.T lagi:
Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.
(Surah Al-Baqarah: 2)
Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Semaikanlah perasaan taqwa kepada
Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku
meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran
kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”
Kita dikehendaki membaca, mendalami dan
menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk
dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar
bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam
kehidupan sehari-hari.
Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir
dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir
yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi
tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib.
Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:
Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib).
Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi:
Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.
Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda:
Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati
manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara
untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati
mati dan membaca Al-Quran.”
PAHALA MEMBACA AL-QURAN
Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi
pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap
satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan
pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.
Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:
Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/;
Barangsiapa membaca satu huruf daripada
Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh
kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi
Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.
Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah
disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi
Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.
Sesiapa yang memelihara sembahyang
fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca
100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat.
Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat
daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali
ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari
Qiamat.
Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya:
Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi.
Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya.
Selain daripada pahala yang disebut
sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan
berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan
Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut:
1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.
2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.
KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN
Orang yang selalu membaca Al-Quran
semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa
mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping
kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan
melimpah juga kepada kedua ibubapanya.
Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Sesiapa yang membaca Al-Quran dan
beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan
dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi
daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam
rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang
dirinya sendiri mengamalkan dengannya.
Al-Quran juga dapat memberi syafaat
(pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari qiamat. Ini
berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya.
Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.
KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN
Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada
menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan
rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang
kosong dari penghuni.
Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong.
ADAB MEMBACA AL-QURAN
Seseorang yang membaca Al-Quran
seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka
hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang
Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan
beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:
1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan
batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama)
dari segala zikir yang lain.
2. Hendaklah membaca di tempat yang suci
dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian
Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di
Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah
kelebihan pahala-pahala iktiqaf.
3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.
4. Hendaklah bersugi dan membersihkan
mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran.
Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi:
Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.
Berkata Yazid bin Abdul Mallek:
Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.
5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan
bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan
bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita
tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.
6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.
7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.
8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang
dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah
atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.
9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).
Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.
10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).
Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.
11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.
12. Hendaklah membaca dengan Tartil
(memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat
kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang
mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T:
Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil.
(Surah Al-Furqan: 32)
Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil.
(Surah Al-Muzammmil: 4)
Pengertian Tartil pada bahasa:
Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh.
Menurut Istilah Tajwid ialah membaca
Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik
serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya.
Saidina Ali k.w berkata:
Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.
13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman:
Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus.
(Surah Al-Israi’: 9)
Firman Allah S.W.T.:
Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.
(Surah Al-Isra’: 82)
Firman Allah S.W.T. lagi:
Ini adalah sebuah kitab yang Kami
turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan
ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai
fikiran.
(Surah Sad: 29)
14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf
sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi
sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:
Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah
bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda sesiapa yang membaca
satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan
dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif
Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu
huruf.
15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut
tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan
kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah
diharuskan.
16. Hendaklah berhenti mambaca apabila
terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca
Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang
munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.
Berkata Mujahid:
Apabila kamu menguap ketika membaca
Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran
sehingga selesai menguap.
17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba
atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di
lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi:
Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan
gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan
teratur siang dan malam.”
18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.
Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis:
Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.
19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:
(Sadaqallahul’azim).
20. Disunatkan berpuasa di hari khatam
Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai
bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran. Dalam sebuah hadis ada
menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah
hadis yang berbunyi:
Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.
SURAH-SURAH DALAM AL-QURAN
Nombor Surah | Nama Surah | Bilangan Ayat | Tempat Turun Ayat | Tertib Penurunan Ayat |
1 | Al-Faatihah | 7 | Makkiyyah | 5 |
2 | Al-Baqarah | 286 | Madaniyyah | 87 |
3 | Al-Imraan | 200 | Madaniyyah | 89 |
4 | An-Nisaa' | 176 | Madaniyyah | 92 |
5 | Al-Maa'idah | 120 | Madaniyyah | 112 |
6 | Al-An'aam | 165 | Makkiyyah | 55 |
7 | Al A'Raf | 206 | Makkiyyah | 39 |
8 | Al-Anfaal | 75 | Madaniyyah | 88 |
9 | At-Taubah | 129 | Madaniyyah | 113 |
10 | Yunus | 109 | Makkiyyah | 51 |
12 | Yusuf | 111 | Makkiyyah | 53 |
13 | Ar-Ra'd | 43 | Madaniyyah | 96 |
14 | Ibrahim | 52 | Makkiyyah | 72 |
15 | Al-Hijr | 99 | Makkiyyah | 54 |
16 | An-Nahl | 128 | Makkiyyah | 70 |
17 | Al- Israa' | 111 | Makkiyyah | 50 |
18 | Al-Kahfi | 110 | Makkiyyah | 69 |
19 | Maryam | 98 | Makkiyyah | 44 |
21 | Al-Anbiyaa' | 112 | Makkiyyah | 73 |
22 | Al-Hajj | 78 | Madaniyyah | 103 |
23 | Al-Mu'minuun | 118 | Makkiyyah | 74 |
24 | An-Nur | 64 | Madaniyyah | 102 |
25 | Al-Furqaan | 77 | Makkiyyah | 42 |
26 | Asy-Syu'araa' | 227 | Makkiyyah | 47 |
27 | An-Naml | 93 | Makkiyyah | 48 |
28 | Al-Qasas | 88 | Makkiyyah | 49 |
29 | Al-'Ankabuut | 69 | Makkiyyah | 85 |
30 | Ar-Ruum | 60 | Makkiyyah | 84 |
31 | Luqman | 34 | Makkiyyah | 57 |
32 | As-Sajdah | 30 | Makkiyyah | 75 |
33 | Al-Ahzaab | 73 | Madaniyyah | 90 |
35 | Faatir | 45 | Makkiyyah | 43 |
36 | Yaa siin | 83 | Makkiyyah | 41 |
37 | As-Saaffaat | 182 | Makkiyyah | 56 |
39 | Az-Zumar | 75 | Makkiyyah | 59 |
40 | Al Mu'min | 85 | Makkiyyah | 60 |
41 | Fussilat | 54 | Makkiyyah | 61 |
42 | Asy Syura | 53 | Makkiyyah | 62 |
43 | Az-Zukhruf | 89 | Makkiyyah | 63 |
44 | Ad-Dukhaan | 59 | Makkiyyah | 64 |
45 | Al-Jaathiyah | 37 | Makkiyyah | 65 |
46 | Al-Ahqaaf | 35 | Makkiyyah | 66 |
47 | Muhammad | 38 | Madaniyyah | 95 |
48 | Al-Fat-h | 29 | Madaniyyah | 111 |
49 | Al-Hujuraat | 18 | Madaniyyah | 106 |
51 | Adz-Dzaariyaat | 60 | Makkiyyah | 67 |
52 | At-Tuur | 49 | Makkiyyah | 76 |
53 | An-Najm | 62 | Makkiyyah | 23 |
54 | Al-Qamar | 55 | Makkiyyah | 37 |
55 | Ar-Rahmaan | 78 | Madaniyyah | 97 |
56 | Al-Waaqi'ah | 96 | Makkiyyah | 46 |
57 | Al-Hadiid | 29 | Madaniyyah | 94 |
58 | Al-Mujaadalah | 22 | Madaniyyah | 105 |
59 | Al-Hasyr | 24 | Madaniyyah | 101 |
60 | Al-Mumtahanah | 13 | Madaniyyah | 91 |
61 | As-Saff | 14 | Madaniyyah | 109 |
62 | Al-Jumu'ah | 11 | Madaniyyah | 110 |
63 | Al-Munaafiquun | 11 | Madaniyyah | 104 |
64 | At-Taghaabun | 18 | Madaniyyah | 108 |
65 | At-Talaaq | 12 | Madaniyyah | 99 |
66 | At-Tahriim | 12 | Madaniyyah | 107 |
67 | Al-Mulk | 30 | Makkiyyah | 77 |
68 | Al-Qalam | 52 | Makkiyyah | 2 |
69 | Al-Haaqqah | 52 | Makkiyyah | 78 |
70 | Al-Ma'aarij | 44 | Makkiyyah | 79 |
72 | Al-Jinn | 28 | Makkiyyah | 40 |
73 | Al-Muzzammil | 20 | Makkiyyah | 3 |
74 | Al-Muddaththir | 56 | Makkiyyah | 4 |
75 | Al-Qiyamah | 40 | Makkiyyah | 31 |
76 | Al-Insaan | 31 | Madaniyyah | 98 |
77 | Al- Mursalaat | 50 | Makkiyyah | 33 |
78 | An-Naba' | 40 | Makkiyyah | 80 |
79 | An-Naazi'aat | 46 | Makkiyyah | 81 |
80 | 'Abasa | 42 | Makkiyyah | 24 |
81 | At-Takwiir | 29 | Makkiyyah | 7 |
82 | Al- Infitaar | 19 | Makkiyyah | 82 |
83 | Al-Mutaffifiin | 36 | Makkiyyah | 86 |
84 | Al-Insyiqaaq | 25 | Makkiyyah | 83 |
85 | Al-Buruuj | 22 | Makkiyyah | 27 |
86 | At-Taariq | 17 | Makkiyyah | 36 |
87 | Al-A'laa | 19 | Makkiyyah | 8 |
88 | Al-Ghaasyiyah | 26 | Makkiyyah | 68 |
89 | Al-Fajr | 30 | Makkiyyah | 10 |
90 | Al-Balad | 20 | Makkiyyah | 35 |
91 | Asy-Syams | 15 | Makkiyyah | 26 |
92 | Al-Lail | 21 | Makkiyyah | 9 |
93 | Adh-Dhuha | 11 | Makkiyyah | 11 |
94 | Al-Insyiraah | 8 | Makkiyyah | 12 |
95 | At-Tiin | 8 | Makkiyyah | 28 |
96 | Al-'Alaq | 19 | Makkiyyah | 1 |
97 | Al-Qadr | 5 | Makkiyyah | 25 |
98 | Al-Bayyinah | 8 | Madaniyyah | 100 |
99 | Az-Zalzalah | 8 | Madaniyyah | 93 |
100 | Al- 'Aadiyaat | 11 | Makkiyyah | 14 |
101 | Al-Qaari'ah | 11 | Makkiyyah | 30 |
102 | At-Takaathur | 8 | Makkiyyah | 16 |
103 | Al- 'Asr | 3 | Makkiyyah | 13 |
104 | Al- Humazah | 9 | Makkiyyah | 32 |
105 | Al- Fiil | 5 | Makkiyyah | 19 |
106 | Quraisy | 4 | Makkiyyah | 29 |
107 | Al- Maa'uun | 7 | Makkiyyah | 17 |
108 | Al- Kauthar | 3 | Makkiyyah | 15 |
109 | Al Kaafiruun | 6 | Makkiyyah | 18 |
110 | An Nasr | 3 | Madaniyyah | 114 |
111 | Al- Masad | 5 | Makkiyyah | 6 |
112 | Al- Ikhlaas | 4 | Makkiyyah | 22 |
113 | Al- Falaq | 5 | Makkiyyah | 20 |
114 | An- Naas | 6 | Makkiyyah | 21 |
PERINGATAN
1. Pembacaan Bismillah diambilkira sebagai ayat dalam surah AL-FAATIHAH.
2. Surah At-Taubah pada asalnya tidak dimulakan dengan Bismillah.
3. Jumlah Surah ialah 114
5. Jumlah Surah Makkiyyah ialah 86
6. Jumlah Surah Madaniyyah ialah 28
7. Jumlah ayat ialah 6239
No comments:
Post a Comment